Resepi Tepung Pelita

Masa penyediaan:
20 minit
Masa memasak:
40 minit
Jumlah hidangan:
4 orang

Kuih tepung pelita adalah antara kuih tradisional yang sangat sinonim dengan bulan Ramadhan. Kuih kegemaran saya di kampung dahulu, kini dan selamanya. Ada juga di masa masa lain. Kalau di kampung saya dulu, setiap hari pun ada dijual di pasar Jelawat.

Hajat asal untuk menyediakan kuih tepung pelita ini dalam bekas plastik dadih yang kecil kecil. Senang nak makan, ambil satu seorang.

Memang tidak bercadang untuk membuat bekas dengan daun pisang pun. Tak kuasa saya untuk membuatnya. Saya di dapur sorang sorang. Tiada pembantu rumah. Semua harus dibuat sendiri.

Kuih tepung pelita kalau yang saya ingat, ada sedikit berkuah air gula di bahagian bawah sekali. Lapisan hijau pula lembut lembut, tidak keras dan lapisan putih juga lembut lembut gitu dengan rasa lemak masin. Kalau cukup rasa dan kriteria ini, barulah rasa seperti makan kuih tepung pelita asli.

Bahan - bahan
Lapisan Hijau:
1 cawan tepung beras
1 sudu besar air kapur makan
4 cawan air daun pandan 
Sedikit pewarna hijau
Lapisan Santan:
2 ½ cawan santan segar
½ cawan tepung beras
½ sudu kecil garam
Cara Masak
Cara Cara  Lapisan Hijau: 
1. Kisar 4-5 helai daun pandan untuk dijadikan air daun pandan secukupnya. Satukan kesemua bahan untuk lapisan hijau. Masak di atas di dapur sambil dikacau dengan whisk sehingga sedikit pekat. 
2. Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih. 
3. Masukkan daun pisang ke dalam bekas plastik. Isikan 1-2 sudu besar gula di atas daun pisang. Kemudian dituangkan lapisan hijau.
4. Kukus selama 15 minit. Setelah masak, tuangkan pula adunan lapisan atas di atasnya. Nota: jika suka, boleh juga ditabur gula di atas lapisan hijau sebelum dituang lapisan santan.
Cara Cara Lapisan Santan:
1. Satukan semua bahan di atas dan masak atas dapur sambil dikacau sehingga kelihatan sedikit pekat. Tuang ke atas lapisan hijau tadi dan kukus dalam 10 minit.
2. Setelah hampir masak, angkat penutup pengukus dan biarkan beberapa minit tanpa penutup bagi mengeringkan air di permukaan kuih tepung pelita. Bolehlah angkat dan disejukkan.
Add to Favorites 0
Resepi Oleh:
Azie Kitchen
Cuba resepi ini ..